BMCO 2101

         KOMUNIKASI ANTARA BUDAYA

 JURNAL REFLEKTIF: KOMUNIKASI LISAN DALAM PERMAINAN SECARA DALAM TALIAN

 

                                         

                                                                  Disediakan oleh:

          Nur Ashikin Syahirah Binti Zamri

 1914180

 

 

Disediakan untuk:

Dr. Arina Binti Johari

 

Kulliyyah of Languages and Management, IIUM Pagoh

 

 

 

 

Penghargaan

          Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur Alhamdullilah ke hadrat Allah S.W.T kerana di atas limpah dan kurniaanNya, maka dapatlah saya menyiapkan jurnal ini dengan jayanya walaupun menempuhi pelbagai dugaan dan rintangan. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Dr. Arina , selaku pensyarah subjek Komunikasi Antara Budaya, di atas kesabaran, sokongan, nasihat dan bimbingan yang diberikan banyak membantu kepada kejayaan dalam penghasilan jurnal reflektif ini. Ribuan terima kasih kepada kedua ibu bapa yang saya hormati yang sentiasa memberi sokongan moral dan kasih sayang dalam menyiapkan tugasan ini. Akhir kata, ucapan terima kasih juga kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dan memberi sumbangan idea dan cadangan dalam menyiapkan jurnal ini. Semoga jurnal ini dapat dijadikan sebagai rujukan yang berguna untuk generasi akan datang.

Sekian, terima kasih.

NUR ASHIKIN SYAHIRAH BINTI ZAMRI

 

  

1.0  PENDAHULUAN

Jurnal reflektif adalah satu log pembelajaran kendiri yang bertujuan merekod pembelajaran yang dilalui oleh individu. Melalui jurnal ini, dikehendaki merekod dan berfikir secara reflektif tentang apa yang diperhatikan dan situasi yang dilalui.  Dalam Jurnal ini saya akan mengemukakan beberapa refleksi yang telah berlaku dalam usaha menyiapkan jurnal ini. Selain itu, saya juga menyatakan peristiwa yang berlaku ketika melaksanakan kajian mengenai komunikasi lisan yang berlaku dalam permainan secara dalam talian. Menurut izzatulnaha (2019), Komunikasi lisan merupakan proses komunikasi yang menggunakan percakapan untuk menyampaikan maklumat kepada penerima. Komunikasi ini sering kali digunakan dalam suatu interaksi bagi setiap manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Komunikasi lisan ini bukan sekadar untuk melakukan perbualan sahaja malah ia juga dikategorikan dalam ucapan, pembentangan, perbualan dalam telefon, mesyuarat dan sebagainya yang melibatkan dua hala. Komunikasi ini memerlukan pengantar dan penerima dan berlakunya pemindahan maklumat kepada pemberi kepada penerima untuk proses tindak balas. Komunikasi ini menggunakan perkataan yang mampu menjadi penghubung kepada manusia dan dapat membezakan antara manusia dan haiwan. Bahasa yang dituturkan setiap individu merupakan pengaruh individu tersebut terhadap sesuatu budaya. Komunikasi lisan dilakukan adalah bertujuan untuk menyampaikan kepercayaan, nilau, persepsi, idea dan emosi individu.

            Seterusnya, kajian ini telah dijayakan oleh saya dan beberapa kawan saya yang turut terlibat dalam permainan dalam talian. Saya juga akan menyatakan kekangan yang dihadapi sepanjang kajian ini dilakukan. Saya juga akan mengaitkan peristiwa tersebut dengan teori-teori yang saya pelajari dalam subjek Komunikasi Antarabudaya. Walaupun kajian ini merupakan pertama kali saya membuat projek berkaitan komunikasi, namun saya mahu berkongsi peristiwa yang berlaku yang berkait rapat dengan komunikasi antara budaya.

2.0  Objektif Reflektif

Jurnal refleksi ini ditulis bertujuan melaporkan komunikasi lisan yang berlaku antara pemain yang berlainan budaya dalam situasi permainan secara dalam talian iaitu PUBG Mobile. Dalam jurnal ini, saya akan menyatakan secara terperinci pengalaman yang berkaitan dengan komunikasi lisan yang berlaku antara berlainan budaya. Tambahan pula, terdapat pelbagai peristiwa yang penting harus dikenal pasti. Saya berpendapat bahawa setiap peristiwa yang berlaku adalah penting kerana tanpa pengalaman tersebut, kajian ini tidak dapat disempurnakan. Kajian ini juga dilakukan untuk menunjukkan bahawa suatu komunikasi tidak dapat berlangsung dengan baik apabila penutur tidak mampu memberi maklumat yang dapat difahami oleh penerima.

Seterusnya, saya juga menyatakan kekangan yang dihadapi semasa pengalaman saya berlaku. Saya menganggap bahawa setiap pengalaman semestinya mempunyai masalah dan kekangannya yang tersendiri. Kekangan yang dihadapi semestinya berkait rapat apabila suatu komunikasi itu berlaku tambahan lagi ketika berkomunikasi dengan berlainan budaya. Namun kekangan yang tersebut dianggap sebagai cabaran bagi saya untuk memahami dan mengendalikan situasi ketika itu.

Akhir sekali, saya juga akan mengaitkan pengalaman saya dengan teori komunikasi antara budaya yang telah dipelajari di dalam kuliah. Hal ini menunjukkan bahawa teori tersebut dipratikkan dalam kehidupan apabila mempunyai pengalaman ketika bertemu seseorang yang berlainan budaya.

 

3.0  KEKANGAN YANG DIHADAPI

Antara kekangan yang dihadapi ketika komunikasi lisan berlaku di dalam permainan secara dalam talian ialah perbezaan bahasa. Perbezaan bahasa juga dapat menyukarkan suatu komunikasi itu berlaku dengan baik. Hal ini akan menyukarkan penutur untuk menyampaikan maklumat kepada penerima kerana tidak mempunyai kefahaman bahasa yang sama. Penggunaan kata-kata yang dapat difahami oleh kedua pihak sangat mempengaruhi dan mampu membina komunikasi yang baik. Seseorang pendengar pasti akan memberi perhatian yang baik sekiranya penutur berbicara dalam bahasa yang mudah. Sebagai contoh dalam pengalaman yang dilalui, pemain yang menjadi kumpulan saya merupakan orang yang berasal daripada Indonesia di mana dia merupakan seorang yang hanya boleh bercakap dalam slang Jawa sahaja. Hal ini telah menyukarkan saya untuk memahami apa yang dibicarakan kerana saya tidak mempelajari bahasa tersebut. Walaupun bahasa yang digunakan ialah bahasa melayu namun ditambah dengan slang Jawa menyebabkan saya tidak dapat apa yang ingin disampaikan. Hal ini juga telah menimbulkan salah faham antara kami sekaligus komunikasi tersebut tidak dapat berjalan dengan baik dan ditamatkan begitu sahaja.

Di samping itu, stereotaip juga salah satu kekangan yang dihadapi dalam situasi tersebut. Stereotaip merupakan satu tanggapan yang negatif terhadap sesuatu etnik. Ia merupakan satu gambaran berlebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada suatu kumpulan etnik. Namun ia lebih kepada satu pandangan negatif yang berteraskan interaksi dan semangat perkauman. Dalam permainan PUBG Mobile, orang Myanmar telah dicop sebagai seorang yang pentingkan diri, penakut dan bermain secara kotor. Hal ini telah menjadi tanggapan negatif setiap pemain terhadap pemain dari Myanmar. Mereka bertanggapan begitu kerana mereka melihat sendiri cara orang Myanmar dalam bermain permainan tersebut. Mereka tidak akan memberi kerjasama walaupun di dalam satu kumpulan, menyembunyikan diri daripada berlawan dengan musuh dan bermain taktik kotor seperti godam permainan tersebut supaya mereka menang dengan mudah. Hal ini telah membuatkan pemain dari Malaysia memberi tanggapan negatif kepada mereka kerana bersikap sedemikian.

Akhir sekali, tidak mempunyai kesepakatan yang sama juga merupakan kekangan yang dihadapi ketika permainan berlangsung. Suatu komunikasi akan terhalang sekiranya terdapat persepakatan yang berbeza dalam membuat sesuatu keputusan. Malah hal ini mampu menimbulkan perbalahan dan salah erti antara satu sama lain. Sebagai contoh, dalam satu kumpulan permainan perlu ada sikap kerjasama antara satu sama lain bagi menumpaskan musuh. Jika tiada semangat tersebut boleh menyebabkan permainan tersebut akan kalah dan mampu menimbulkan ketidakpuasan hati antara ahli kumpulan. Hal ini telah menjadi masalah kerana saya berpengalaman mendapat seorang ahli kumpulan yang degil dan selalu tidak bersetuju terhadap keputusan yang dibuat oleh ahli yang lain. Hal ini berlaku kerana dia merasakan strategik yang telah dibuat tidak sama seperti yang dirancang olehnya bagi memenangi permainan tersebut. Oleh hal demikian, persefahaman yang berbeza mampu membuatkan suatu komunikasi tidak dapat disampaikan dengan baik.

 

4.0  APLIKASI TEORI KAB DALAM KEHIDUPAN/ PROSES PEMBELAJARAN

Melalui jurnal ini, terdapat beberapa teori komunikasi antara budaya yang telah diaplikasikan dalam peristiwa yang dikaji iaitu teori komunikasi lisan. Komunikasi merupakan suatu kegiatan yang ada di kehidupan seharian kita sebagai satu bentuk interaksi dengan individu atau kelompok lain. Hal ini dapat dilihat secara jelas bahawa komunikasi lisan ini terjadi dari suatu pengucapan kata-kata secara lisan dan berlangsung ke individu lain sebagai penerima. Menurut pakar komunikasi, Komunikasi lisan mempunyai dua jenis iaitu komunikasi langsung dan tidak langsung. Komunikasi langsung merupakan komunikasi lisan yang terjadi tanpa adanya perantara, jarak dan alat atau media yang digunakan dalam berkomunikasi. Manakala, komunikasi tidak langsung pula menggunakan media atau alat perantara seperti telefon bimbit, komputer atau lain-lain sebagai penyampai pesanan. Melalui pengalaman yang dilalui, komunikasi yang terlibat adalah komunikasi secara tidak langsung dimana kami berkomunikasi melalui telefon bimbit semasa bermain permainan tersebut.

Seterusnya, saya telah memilih teori Nilai Dimensi Hofstede dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Nilai Dimensi Hotfstede merupakan satu teori yang menggunakan data statistik untuk menerangkan tentang budaya. Teori ini telah dilakukan kajian ke atas lebih lima puluh negara di tiga rantau. Teori ini mempunyai lima eleman seperti individualism kolektivisme, penghindaran ketidakpastian, jurang kuasa, maskulin feminine dan jangka orientasi. Individualism bermaksud sikap yang mementingkan diri sendiri manakala kolektivisme pula lebih kepada muafakat iaitu mementingkan kumpulan atau kepentingan bersama. Merujuk kepada Devito (2009) mengatakan bahawa menekankan pentingnya nilai-nilai kelompok atau kolektif seperti amalan tradisi, murah hati dan kepatuhan. Berdasarkan pengalaman saya dapat dilihat bahawa orang Malaysia mempunyai elemen kolektivisme dalam diri masing-masing. Hal ini disebabkan masyarakat melayu telah dididik untuk saling hidup bermuafakat bagi mengeratkan hubungan silaraturahim antara satu sama lain. Selain itu, orang melayu turut diajar untuk bertutur menggunakan bahasa yang sopan dan santun. Masyarakat Malaysia turut lebih mementingkan matlamat kebajikan berbanding pencapaian kehendak individu. Sikap individualism dapat dilihat pada diri individu yang berasal daripada negara luar yang lebih mementingkan pencapaian individu dalam pelbagai aspek. Hal ini dapat dikaitkan dengan situasi dalam permainan ini dimana pemain dari Malaysia sememangnya akan memberi kerjasama dalam satu pasukan. Langkah yang diambil oleh pemain Malaysia adalah bertujuan untuk mengelakkan berlakunya konflik antara individu. Jika dibandingkan dengan masyarakat di negara luar, mereka bersikap pentingkan diri sendiri terlebih dahulu tanpa memikirkan orang lain. Hal ini dapat menunjukkan bahawa terdapat perbezaan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Malaysia dan negara luar.

Akhir sekali, jangka masa orientasi yang terdiri daripada jangka masa panjang dan pendek. Menurut Hofstede (1989), menyatakan bahawa jarak kuasa bermaksud di mana mereka yang kurang berkuasa di dalam sesuatu organisasi, termasuk institusi kekeluargaan, menerima dan merasakan bahawa kuasa diagihkan secara tidak adil. Jarak kuasa jauh menunjukkan semakin jauh jarak kuasa semakin tinggi darjat ketaatan masyarakat kepada ketua dalam masyarakat yang mempunyai status. Oleh hal demikian, orientasi jarak kuasa jauh amat mementingkan kesejahteraan dan kebaikan semua untuk jangka masa panjang. Sebagai contoh, Malaysia amat memberi penekanan dalam nilai-nilai moral yang perlu diamalkan dalam kehidupan seperti menghormati antara satu sama lain. Dalam situasi pengalaman saya, pemain Malaysia akan menghormati antara satu sama lain walaupun tidak mengenali antara satu sama lain. Hal ini disebabkan oleh penerapan nilai moral yang telah diasuh ketika masih kecil lagi. Mereka telah mengaplikasikan nilai moral di dalam permainan tersebut dengan  menutur kata-kata yang baik dan tidak menyinggung mana-mana pihak bagi mengelakkan kesalahfahaman antara satu sama lain.  Hal ini amat berbeza dengan masyarakat di negara luar yang mengamalkan orientasi jangka yang pendek iaitu tidak mementingkan status dan pentingkan keputusan jangka pendek. Mereka tidak diterap nilai-nilai moral seperti menghormati yang lebih tua malah mereka lebih bersikap terbuka dan bebas. Bagi masyarakat negara luar pula, mereka mempunyai kebebasan dalam bertutur bahasa yang kurang sopan tanpa mengira umur. Budaya mereka juga tidak terlalu mementingkan penggunaan bahasa yang sopan. Amalan mencarut dan bertutur perkataan yang tidak elok dianggap perkara biasa bagi masyarakat mereka. Justeru itu, kita dapat lihat bahawa masyarakat Malaysia masih menjaga kesantunan bahasa dan nilai moral dalam pelbagai situasi. Hal ini juga menunjukkan bahawa orang Melayu mempunyai sikap semulajadi tersendiri iaitu sopan santun dan budi pekerti.

 

 

5.0  PENGALAMAN

Pengalaman yang saya ingin ceritakan adalah pengalaman saya mengalami gangguan dalam komunikasi lisan yang tidak berkesan ketika bermain permainan PUBG Mobile. Permainan ini memerlukan empat orang dalam satu pasukan. Namun pada hari tersebut, saya dan dua orang kawan sahaja yang bermain ketika itu. Jika pasukan tidak cukup pemainnya, maka pemain seorang lagi akan di pilih secara rawak tanpa mengira negara dan ia atas nasib negara mana yang kita akan peroleh. Ketika permainan ingin bermula, kami berasa amat berdebar kerana bimbang mendapat pemain yang mementingkan diri atau dari negara luar. Setelah memasuki gelanggang permainan, kami mendapati bahawa nasib kami tidak bernasib baik kerana mendapat pasukan dari negara Myanmar. Seperti sedia maklum, pemain Myanmar tidak terlalu memberi kerjasama kepada ahli kumpulan malah dia hanya bergerak secara solo. Kami berasa amat marah kerana mendapat pasukan yang tidak mampu memberi kerjasama kepada kita. Hal ini boleh mendorong kepada kekalahan dalam permainan. Namun begitu, pemain Myanmar ini akhirnya menyedari bahawa dia sepatutnya mengikuti kami. Pada awalnya, dia tidak membuka suara dan hanya berdiam diri. Setelah itu, dia melihat musuh di hadapan lalu dia membuka suara untuk memberitahu kami bahawa di sana ada musuh. Dia berkata “Hey! Lali Lali! Enemy!” kepada kami. Kami cuba untuk mentafsir apa yang ingin disampaikan olehnya. Adakah dia memberitahu arah musuh tersebut atau sebaliknya. Salah seorang daripada kami menjawab “where is the enemy?” kerana ingin mengetahui kedudukan musuh secara lebih terperinci. Namun dia masih mengucapkan perkataan yang sama kerana dia tidak mengetahui bagaimana untuk berbicara dalam bahasa Inggeris. Lalu kami terus menerjah kearah tersebut lalu kami diserang oleh pihak musuh lalu mati dan hanya dia seorang yang hidup dalam pasukan tersebut. Oleh hal demikian, tercetus salah faham antara kami kerana dia tidak memberitahu arah yang sebetulnya kepada kami. Selain itu, dia juga tidak menyertai kami untuk menyerang musuh tersebut. Dia hanya duduk di belakang menyorok di belakang pokok. Kami amat marah kerana dia langsung tidak memberi kerjasama kepada kami, tiada semangat berpasukan dan penakut untuk lawan. Oleh sebab itu jugalah pemain akan menganggap pemain Myanmar penakut dan tidak memberi kerjasama dalam pasukan. Hal ini juga berlaku kerana apa yang ingin disampaikan tidak jelas dan maklumat yang ingin disampaikan tidak sampai kepada penerima.

 

6.0  KESIMPULAN

Konklusi bagi jurnal refleksi ini, tugasan kajian dalam pengalaman telah dilaksanakan banyak membantu saya dalam mengenalpasti masalah yang timbul sekiranya berkomunikasi dengan orang yang berlainan budaya. Daripada masalah ini, saya telah mampu untuk memperbaiki diri dalam mengatasi masalah komunikasi yang tidak berkesan daripada terus berlaku di masa akan datang.

Selain itu, saya dapat mengenalpasti kekangan yang dihadapi berdasarkan pengalaman yang saya harungi. Dalam kajian ini, saya turut menyedari bahawa saya perlu menambah ilmu pengetahuan dengan mempelajari bahasa asing selain daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Saya juga perlu mengubah tanggapan negatif terhadap masyarakat lain kerana setiap masyarakat mempunyai budaya yang tersendiri. Seterusnya, sikap kerjasama serta bersepakat merupakan perkara yang paling penting ketika berada di dalam kumpulan. Pada waktu yang sama, hal ini telah menyedarkan saya bahawa kita perlu mengambil setiap pengajaran daripada pengalaman saya dan tidak mengaplikasikannya di dalam kehidupan.

Akhir sekali, saya juga dapat melihat teori yang saya pelajari di dalam kelas telah diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Saya juga dapat memahami teori yang dipelajari secara lebih mendalam apabila dikaitkan dengan aktiviti harian. Justeru itu, kita dapat lihat bahawa setiap budaya itu mempunyai cara yang berbeza terutama ketika berkomunikasi dengan individu yang berlainan budaya.

 

7.0  BIBLIOGRAFI

 

Heru. (2017, August 19). Pakar Komunikasi.com. Retrieved from Komunikasi Lisan – Proses – Jenis: https://pakarkomunikasi.com/komunikasi-lisan

izzatulnaha. (2019). KOMUNIKASI LISAN. Retrieved from https://www.google.com.my/amp/fstm.kuis.edu.my/blog/komunikasi-lisan/amp/

maharam. (2014, May 23). Retrieved from Contoh Jurnal Refleksi Pemuliharaan Alam Sekitar di Taman Botani Kepong: http://contohtugasan.blogspot.com/2014/05/contoh-jurnal-refleksi-pemuliharaan.html?m=1

online, i. (2017, August 5). Retrieved from Dimensi Budaya Hofstede (1980): http://ilmiahonline2017.blogspot.com/2017/08/dimensi-budaya-hofstede-1980.html?m=1

 

 

Comments

Popular posts from this blog